Halaman

Rabu, 27 Julai 2011

MASALAH PENGLIHATAN KANAK-KANAK

Rawatan Penglihatan Kanak-Kanak Afakia

Afakia adalah satu keadaan di mana mata telah kehilangan kanta kristalin yang asal (ketiadaan kanta mata) melalui pembedahan disebabkan oleh katarak (kanta kristalin berkabut).

Ia boleh berpunca sejak lahir, trauma ataupun bila bayi mempunyai penyakit sistemik. Kebiasaannya, jika dikesan semasa lahir, ia dikenali sebagai katarak kongenital.

Katarak kongenital merupakan opasti atau kekabutan pada kanta kristalin yang boleh menghalang penglihatan. Ia boleh mengakibatkan kekaburan penglihatan yang nyata ataupun secara total.

Katarak kongenital kebiasaannya berlaku pada kedua-dua belah mata (bilateral) manakala katarak yang disebabkan oleh trauma selalunya berlaku pada satu mata (unilateral).

Sekiranya katarak tidak dapat dikesan awal, ia boleh menyebabkan deprivasi/halangan penglihatan pada bayi. Ini berlaku disebabkan oleh pengurangan stimulus untuk penglihatan sehinggakan bayi mengalami tahap penglihatan yang rendah.

Komplikasi penglihatan yang dapat berlaku akibat pengurangan stimulus penglihatan di awal usia adalah ambliopia (mata malas), nistagmus (mata bergetar) dan juling.

Dengan tahap penglihatan yang rendah, secara tidak langsung boleh mempengaruhi tumbesaran kanak-kanak dari segi motiliti dan juga keupayaan mengenal objek dan warna.

Rawatan atau rehabilitasi/pemulihan semula penglihatan bagi kanak-kanak afakia perlu disegerakan sejurus selepas pembedahan katarak dilakukan.

Ini amat penting untuk mengelakkan penglihatan kanak-kanak tersebut terbiar tanpa ada sebarang pembetulan refraksi.

Pembetulan refraksi/pembiasan diperlukan selepas pembedahan katarak. Ini kerana kanta kristalin yang dikeluarkan semasa surgeri sebenarnya berfungsi sebagai salah satu media refraksi yang membawa kuasa anggaran sebanyak 20D.

Apabila kanta ini dikeluarkan semasa surgeri, mata akan kehilangan kuasa akomodasi (untuk melihat dekat) sebanyak 20D.

Oleh itu, kuasa refraksi tambahan perlu dipasang di luar mata (dengan memakai kanta sentuh ataupun cermin mata) ataupun kanta palsu (kanta intraokular) dimasukkan ke dalam mata kanak-kanak semasa surgeri.

..
.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...