Halaman

Ahad, 19 Jun 2011

BILIK SENDIRI

1 Jun 2011, anak sulung saya Amirul Hakim mula tidur bilik sendiri. Ketika ni umurnya 5 tahun 7 bulan. Mungkin sesetengah ibubapa usia ni agak terlewat, tapi bagi saya nilah masa yang sesuai bagi dia kerana dia terlalu manja dan sukar berdikari berbanding dua adiknya. Ni pun setelah 3 hari berjanji, berat hati , sedih pilu semua ada....maklumlah sebelum ni tidur bertiga ngan dua adiknya Alya & Anisha. Sebenarnya tak susah memujuk anak untuk berpindah ke bilik baru tidur bersendiran. Janji kita pandai gunakan kaedah psikologi dan sedikit ketegasan. Jom aku cerita beberapa tip yang boleh di kongsi bersama.

Nampak macam perkara kecil tetapi berpindah daripada katil bayi yang didiami sejak kecil atau tidur di bilik bersama ibubapa merupakan detik penuh emosi bagi anak kita. Sebenarnya tiada usia khusus yang ditetapkan waktu bila sepatutnya tidur di bilik sendiri, tetapi biasanya usia lebih kurang 2 tahun merupakan waktu yang sesuai.

Antara tip yang boleh dicuba :

Beritahu Anak Dengan Cara yang Betul
Ceritakan padanya keseronokan berpindah ke bilik baru. Katakan padanya yang dia kini sudah besar sama seperti orang dewasa. Tunjukkan emosi kita gembira ketika berbicara supaya anak tahu bahawa kita terlalu gembira dengan perpindahan ini.

Lakukannya Bersama

Jika katil yang akan anak kita pakai baru hendak dibeli, bawa anak untuk memilihnya sendiri. Beri dia untuk peluang membuat pilihan dan buatkan anak rasa seperti hadiah untuknya. Pilih cadar dan selimut yang menjadi kesukaannya. Sekiranya katil yang akan digunakannya merupakan katil lama milik abang atau kakak, kita kemas sendiri dan tukar cadar, selimut dengan corak kesukaannya. Ini menunjukkan kita member sokongan dan galakan kepda perpindahan ini.

Pastikan Keselamatannya

Keselamatan anak adalah yang paling penting. Oleh kerana terbiasa dengan sangkar berpagar pada katil bayi, anak akan merasakan dia sentiasa dikawal penghadang katil. Semasa tidurnya anak mungkin terjatuh. Pasangkan penghadang sisi yang kecil dengan betul dan kuat. Tunjukkan pada anak yang penghadang itu akan menyelamatkannya dari terjatuh. Kita juga boleh menggunakan kerusi untuk dijadikan penghadang, hanya sandarkan belakang kerusi di belakang katil.

Persekitaran yang biasa dapat membantu

Biarkan anak kita menggunakan barang-barang yang biasa dipakainya. Tidur di katil yang baru mungkin terasa janggal baginya, jadi bantu dia membiasakan diri dengan memasang cadar dan selimut lamanya. Biarkan dia menggunakannya untuk beberapa hari walaupun kita telah membelikan cadar yang baru.

Beri masa untuk anak menyesuaikan diri

Pilih malam pertama perpindahannya dengan teliti. Malam yang ‘mood’ nya elok. Bersedialah untuk menemani anak untuk beberapa hari pertama. Kita boleh membaca buku cerita untuk menunggunya mengantuk. Ini detik yang amat sukar bagi anak untuk melelapkan mata. Teman anak untuk beberapa ketika dan jangan bosan untuk mengulanginya. Kesungguhan kita akan membuahkan hasil dalam beberapa hari dan tidak mustahil untuk beberapa minggu.

Tegas dengan pendirian

Jika anak membantah, jangan marah tetapi cuba bertenang. Anak mungkin akan menangis sambil merayu-rayu untuk tidur di bilik bersama kita atau katil bayinya semula. Jangan bertukar fikiran sebaliknya pujuk anak dengan menyatakan dia akan merasa selamat dan selesa dengan katil barunya.

Selamat mencuba!

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...